KUALA PENYU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuala Penyu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, bakal meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Kuala Penyu, Jepinus Kamuin, berkata tuduhan yang disiarkan di laman blog malaysiahotmy.blogspot.com itu bukan sahaja tidak berasas dan berniat jahat, malah merupakan gerakan propaganda pembangkang yang semakin terdesak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
“Artikel itu bukan sekadar fitnah biasa, ia serangan terancang pembangkang yang sudah mula panik dengan sokongan rakyat terhadap Datuk Limus di Kuala Penyu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jepinus berkata, pembangkang kini ketandusan idea dan cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan GRS selepas gagal menawarkan dasar pembangunan yang meyakinkan rakyat.
“Mereka tahu pengaruh Datuk Limus terlalu kuat untuk digugat. Jadi jalan paling mudah bagi mereka ialah menabur fitnah dan menghasut rakyat dengan cerita rekaan,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan tindakan menyebarkan berita palsu itu sebagai usaha terdesak untuk menggugat kestabilan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri.
“Ini taktik lama pembangkang. Cipta kekeliruan, sebar fitnah, kemudian tuduh orang lain tidak stabil. Tapi rakyat Sabah bukan bodoh. Mereka tahu siapa yang bekerja untuk negeri, dan siapa yang hanya pandai bercakap di media sosial,” katanya.
Jepinus menegaskan bahawa Datuk Limus kekal setia bersama GRS dan Gagasan Rakyat, serta terus komited merealisasikan dasar pembangunan negeri di bawah teras Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berkata, Datuk Limus bukan pemimpin yang berpolitik sempit, sebaliknya sentiasa turun padang, mendengar masalah rakyat dan memperjuangkan projek-projek pembangunan luar bandar.
“Beliau konsisten memperjuangkan isu infrastruktur, pendidikan dan peluang ekonomi di Kuala Penyu. Pembangkang hanya tahu mengkritik di media sosial, tetapi bila rakyat perlukan bantuan, mereka tidak kelihatan,” katanya.
Jepinus turut memberi amaran keras kepada pihak yang menyebarkan berita palsu supaya berhenti mencetuskan kebencian dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau portal yang terus menyebar fitnah terhadap Datuk Limus. Rakyat Kuala Penyu sudah muak dengan politik kotor gaya pembangkang,” tegasnya.
Beliau juga mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu serta laman sesawang yang menyebarkan berita palsu tersebut.
“SKMM perlu bertindak tegas. Jangan biarkan laman fitnah seperti malaysiahotmy terus menabur racun dalam masyarakat. Tindakan segera penting bagi memastikan media sosial tidak disalah guna untuk tujuan politik jahat,” katanya.
Jepinus menegaskan bahawa Gagasan Rakyat Kuala Penyu akan terus memantau isu berkenaan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan politik Sabah kekal bersih, matang dan berteraskan fakta, bukan fitnah.






