JAKARTA: Tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara dilaporkan kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan pelarasan garisan sempadan antara Indonesia dan Malaysia selepas penyelesaian beberapa isu sempadan tertunggak (Outstanding Boundary Problem, OBP).
Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Sempadan (BNPP), Makhruzi Rahman berkata, perubahan itu dimuktamadkan melalui perjanjian dalam Mesyuarat Bersama Indonesia–Malaysia ke-45 yang berlangsung di Pulau Sebatik pada 18 Februari 2025.
Menurut beliau, tiga OBP yang dipersetujui melibatkan kawasan B-2700, B-3000 dan Simantipal, sekali gus mengubah kedudukan sebahagian wilayah di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara.
“Di kawasan eks OBP Sinapat dan Kecamatan Lumbis Hulu, terdapat tiga kampung yang sebahagian wilayahnya kini termasuk dalam Malaysia iaitu Kampung Kabungalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas,” katanya ketika mesyuarat bersama Suruhanjaya II DPR di Senayan, Jakarta.
Bagaimanapun, Makhruzi menjelaskan kira-kira 127 hektar kawasan di Pulau Sebatik masih kekal sebagai wilayah Indonesia.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan masih terdapat empat segmen OBP di sektor barat Kalimantan Barat yang belum diselesaikan sepenuhnya, iaitu di D-400, Gunung Rayan, Sibuan dan Batu Aum, yang kini berada pada peringkat tinjauan lapangan dan pertukaran maklumat teknikal.
Makhruzi turut menegaskan Indonesia memperoleh manfaat wilayah susulan pelarasan itu, dengan tambahan keluasan kira-kira 5,207 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia dan kini dicadangkan untuk pembangunan kawasan sempadan termasuk pembinaan Pos Lintas Batas Negara (PLBN) serta Zon Perdagangan Bebas.






