KOTA KINABALU: Kira-kira 1,500 anggota komuniti Cina di bandar raya ini didakwa telah diperdaya untuk menghadiri majlis makan malam di ITCC selepas tersebar maklumat bahawa Perdana Menteri akan hadir, dakwa ahli perniagaan Andrew Chew Taw En.
Susulan itu, Andrew membuat laporan polis terhadap dua akhbar berbahasa Cina tempatan serta dua individu bergelar Datuk kerana didakwa menyebarkan maklumat palsu dan melaporkannya sebagai fakta.
Menurut Andrew, laman Facebook rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 8 November 2025 telah mengesahkan bahawa Perdana Menteri tidak dijadualkan menghadiri majlis tersebut, namun risalah, video di Facebook dan laporan akhbar masih menyatakan sebaliknya.
“Orang ramai datang dengan harapan dapat bertemu Perdana Menteri, tetapi beliau tidak hadir kerana memang tidak dijadualkan. Ini memperdaya masyarakat,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Kota Kinabalu pada petang Khamis.
Beliau berkata seramai kira-kira 30 individu terdiri daripada pekerja dan rakan kongsi perniagaan yang turut memegang saham telah tampil membuat laporan berkaitan perkara itu.
Andrew turut mendakwa liputan media terbabit bersifat berat sebelah dan bertujuan membina imej positif terhadap dua Datuk berkenaan, termasuk ketika salah seorang daripadanya sedang berdepan kes di mahkamah.
Katanya, beliau telah mendapatkan nasihat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum membuat laporan dan meminta siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau menegaskan laporan dibuat bagi meluruskan fakta dan mempertahankan kepentingan masyarakat serta reputasinya sebagai pelabur, selain menuntut agar media mematuhi etika kewartawanan dan mengutamakan pengesahan maklumat.






