Guru Gunting Tudung Pelajar di Lahad Datu Sudah Ditukarkan ke Sekolah Lain

Guru Gunting Tudung Pelajar di Lahad Datu Sudah Ditukarkan ke Sekolah Lain

0
SHARE

KOTA KINABALU: Guru yang terlibat dalam insiden menggunting tudung pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Lahad Datu telah ditukarkan ke sekolah lain, susulan tindakan segera pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

Pengarah JPNS, Raisin Saidin berkata, pertukaran itu dilaksanakan melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu selepas isu berkenaan tular di media sosial dan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa.

“Saya difahamkan guru tersebut telah ditukarkan ke sekolah lain, selain turut memohon maaf kepada ibu bapa murid yang terlibat. Guru berkenaan juga telah menggantikan semula tudung murid yang digunting,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, murid yang terlibat tidak dipindahkan dan masih meneruskan persekolahan di sekolah yang sama.

Raisin menegaskan pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan menyeru semua guru agar melaksanakan tugas dengan lebih berhemah, termasuk mengambil kira kemampuan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Pada masa sama, beliau turut menasihati pelajar supaya mematuhi peraturan sekolah yang ditetapkan berlandaskan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Semua peraturan yang dikuatkuasakan bertujuan memberi kebaikan kepada murid. Saya berharap insiden seumpama ini tidak berulang di mana-mana sekolah,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan seorang guru menggunting tudung beberapa pelajar perempuan kerana didakwa tidak memenuhi kriteria pemakaian yang ditetapkan. Kejadian itu dipercayai berlaku pada Jumaat lalu, hari kelima sesi persekolahan 2026 bermula.