Dua Lelaki Maut, Motosikal Bertembung Van di Kg Saga 3, Jalan Kibagu

Dua Lelaki Maut, Motosikal Bertembung Van di Kg Saga 3, Jalan Kibagu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dua lelaki disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah van jenis KIA dan motosikal Honda Vario di Kampung Saga 3, Jalan Kibagu, di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 malam sebelum 11 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati dua mangsa lelaki tersepit di bawah kenderaan. Pasukan bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas Air Lifting Bag,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian itu, pemandu van KIA dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Maklumat identiti mangsa masih belum diperoleh setakat ini.

Operasi menyelamat berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.15 malam dan ditamatkan lapan minit kemudian setelah pemeriksaan keselamatan di lokasi dijalankan.