Ingkar Arahan PKPP, Seramai 20 Individu Termasuk Warga China Diberkas Dalam Ops...

Ingkar Arahan PKPP, Seramai 20 Individu Termasuk Warga China Diberkas Dalam Ops Pusat Hiburan

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Seramai 20 individu termasuk lima (5) tukang urut warganegara China diberkas dalam Ops Pusat Hiburan di sebuah premis hiburan di Batu Kawa, malam Sabtu selepas mereka dengan jelas telah melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, ACP Jasmirol Jamaluddin berkata, suspek-suspek berusia antara 30 hingga 56 tahun terdiri daripada 13 lelaki dan tujuh wanita termasuk wanita warganegara China yang bekerja sebagai tukang urut.

“Pada 27 Jun 2020 jam 11.30 malam, sepasukan anggota JSJN, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak telah menjalankan serbuan di sebuah premis di Jalan Batu Kawa, Bandar Baharu Batu Kawa.

“Hasil serbuan telah berjaya menahan 13 lelaki dan tujuh perempuan yang sedang berhibur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan di bilik pertama digunakan lapan suspek iaitu lima lelaki dan tiga wanita warganegara China yang ditahan, polis menjumpai satu peket plastik lut sinar berisi serbuk warna putih disyaki dadah jenis ketamin dengan berat dianggarkan 0.81 gram.

Tambah Jasmirol yang dipetik laporan Utusan Borneo, pemeriksaan bilik kedua yang mana 12 suspek iaitu lapan lelaki dan empat wanita ditahan menjumpai satu peket plastik lut sinar berisi serbuk warna putih disyaki dadah jenis ketamin dengan berat dianggarkan 0.28 gram dan satu gelas kaca yang berisi cecair disyaki campuran dadah (anggaran tujuh mililiter).

Selain itu, beliau memberitahu pemeriksaan badan seorang suspek wanita warganegara China berusia 52 tahun menjumpai satu peket plastik lut sinar berisi serbuk warna putih disyaki dadah jenis ketamin dengan berat kasar 0.63 gram.

Dalam pada itu, Jasmirol berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku datang ke premis berkenaan untuk berhibur dan mendapat bekalan dadah daripada salah seorang suspek.

Malah, katanya, salah seorang daripada suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah terbabit secara ‘bank-in’ dan pembekal akan membuang bekalan mengikut lokasi yang telah ditetapkannya sebelum dikutip suspek sendiri.

Beliau menjelaskan hasil ujian saringan awal yang dijalankan ke atas kesemua suspek mendapati 15 orang iaitu 11 lelaki dan empat wanita didapati positif dadah.

Menurutnya lagi, kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan untuk tindakan selanjutnya.

Tegas beliau kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.