Malaysia Airlines Kesal Penumpang Terseksa Di Dalam Kabin Pesawat Yang Panas

Malaysia Airlines Kesal Penumpang Terseksa Di Dalam Kabin Pesawat Yang Panas

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines amat kesal dengan nasib penumpang yang terseksa dan ketidakselesaan pada tiga penerbangan mereka apabila persekitaran kabin pesawat menjadi panas berikutan masalah teknikal berasingan yang menyebabkan unit kuasa bantu tidak berfungsi.

Syarikat penerbangan nasional itu dalam satu kenyataan hari ini yang dipetik Bernama menjelaskan, TIGA (3) penerbangan berkenaan dari Kuala Lumpur ke Kuching (MH2536) pada 3 Mei, Kuala Lumpur ke Sandakan (MH2710) pada 8 Mei dan Alor Setar ke Kuala Lumpur (MH1205) pada 9 Mei 2022.

“Sistem unit kuasa bantu ialah komponen yang dipasang pada pesawat yang membekalkan kuasa elektrik dan udara bertekanan untuk sistem penyaman udara dan enjin yang dimulakan di atas tanah…

“Apabila anomali dikesan di darat sebelum berlepas, pesawat tidak boleh dihidupkan mengakibatkan persekitaran kabin yang hangat,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu memaklumkan dengan bantuan peralatan di darat di lapangan terbang berlainan dan jenis pemeriksaan yang diperlukan, masa menunggu mungkin terpaksa dipanjangkan, untuk memastikan pesawat berkenaan selamat untuk dikendalikan.

“Bagi mengelakkan situasi seperti itu berulang dan menyebabkan ketidakselesaan penumpang, syarikat penerbangan ini berkuat kuasa serta-merta akan memastikan penumpang dipindahkan ke dewan berlepas dalam tempoh 10 minit, selepas masalah dikenal pasti sementara proses pembaikan sedang dibuat…

“Syarikat penerbangan ini akan menasihati tindakan seterusnya, jika pembaikan itu mengambil masa lebih lama daripada jangkaan,” jelasnya.

Sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri, Malaysia Airlines mengendalikan lebih 1,800 penerbangan dan menggunakan 40 pesawat, bagi menampung lonjakan dalam perjalanan domestik.

Malaysia Airlines berkata, ia komited untuk menambah baik proses pemulihan perkhidmatannya bagi memastikan penumpang tidak terganggu.