KOTA KINABALU: Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden tular di Tanjung Lipat yang melibatkan dua individu melakukan perlakuan tidak wajar di tempat awam.
Timbalan Presiden Kelab Komuniti Sayang Sabah, Steve Johnny Mositun, berkata perbuatan tersebut mencetuskan kebimbangan kerana dilakukan secara terbuka tanpa menghiraukan adab, budaya dan sensitiviti masyarakat.
Beliau menegaskan kebebasan individu tidak boleh dijadikan alasan untuk menghakis maruah diri dan keharmonian awam, serta mengingatkan bahawa tempat awam bukan ruang peribadi.
Menurutnya, siasatan adil perlu dijalankan dan tindakan wajar diambil jika terdapat pelanggaran undang-undang, termasuk terhadap pihak yang merakam dan menyebarkan rakaman tersebut.
“Sikap menganggap perkara sebegini sebagai biasa boleh membawa kepada kemerosotan nilai moral.
“Saya menyeru semua pihak memelihara adab, akhlak dan tanggungjawab sosial demi masa depan Sabah,” katanya.






