SEMPORNA: Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan bersama diesel, petrol dan tong gas yang disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran dalam satu operasi di perairan Pulau Mataking, di sini, pada 26 Disember lalu.
Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak memaklumkan, pihaknya mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan bergerak ke arah keluar perairan negara sebelum bertindak memintas salah sebuah bot berkenaan.
Menurutnya, sebuah lagi bot berjaya memecut melarikan diri ke arah sempadan sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua individu di dalam bot yang dipintas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau pas perjalanan yang sah.
“Pemeriksaan turut menemukan beberapa barangan kawalan dipercayai untuk tujuan penyeludupan,” jelas kenyataan itu di sini, semalam.
PGA Kunak berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM21,470.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, manakala kedua-dua suspek serta barang rampasan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.






