KOTA KINABALU, SABAH – Tiga lokasi di negeri ini telah dipilih untuk pelaksanaan inisiatif Bazar Ramadan Rahmah (BRR), kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah Georgie Abas.
Georgie berkata lokasi tersebut ialah di Lintasan Deasoka (Kota Kinabalu), hadapan Plaza Sabindo (Tawau) dan Juara Sport Arena Ketiau (Putatan).
“BRR merupakan inisiatif terbaharu kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pilihan juadah berbuka puasa pada harga rendah dan berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Disamping itu, beliau juga menyatakan ini termasuk menggalakkan peniaga menyediakan pelbagai produk makanan seimbang berasaskan Menu Rahmah kepada pengunjung yang hadir ke bazar Ramadan tahun ini.
Inisiatif BRR dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara KPDN dan PBT atau pihak swasta tanpa melibatkan sebarang implikasi kos kepada kerajaan.
Pada masa yang sama, KPDN Sabah dengan kerjasama pihak penyedia perkhidmatan e-wallet, Touch ‘n Go dan Boost, turut menawarkan pemberian insentif e-tunai kepada 6,000 pengunjung dalam bentuk e-wallet bernilai RM20 bagi 1,000 pengunjung terawal di setiap lokasi BRR pada tarikh-tarikh terpilih.






