LDP Sokong Reformasi Strata, Usaha Kerajaan Negeri Lindungi Pemilik Hartanah Sabah

LDP Sokong Reformasi Strata, Usaha Kerajaan Negeri Lindungi Pemilik Hartanah Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Cadangan Akta Hakmilik Strata dan Akta Pengurusan Strata disambut baik sebagai reformasi penting bagi melindungi hak pemilik hartanah di Sabah.

ADUN Dilantik merangkap Setiausaha Agung LDP, Datuk Ir. Chin Shu Ying berkata, undang-undang baharu itu akan menyelesaikan isu berpanjangan berkaitan kelewatan pengeluaran hak milik strata serta ketiadaan rangka kerja pengurusan hartanah yang menyeluruh.

Katanya, ramai pembeli masih tidak diiktiraf sebagai pemilik sah walaupun telah menjelaskan bayaran, selain berdepan kesukaran dalam urusan transaksi, pembiayaan semula dan pewarisan.

“Situasi ini juga menyebabkan pertikaian pengurusan dan dana penyelenggaraan sukar diselesaikan kerana ketiadaan mekanisme undang-undang yang jelas,” katanya.

Beliau berkata, Akta Hakmilik Strata akan mempercepat proses pengeluaran hak milik individu, manakala Akta Pengurusan Strata akan memperkukuh tadbir urus serta tanggungjawab pihak berkaitan.

Chin menegaskan reformasi ini penting untuk memulihkan keyakinan serta meningkatkan ketelusan sektor hartanah di Sabah.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan negeri supaya segera menguatkuasakan akta tersebut selepas diluluskan, bagi mengelakkan pembeli terus berdepan risiko dan ketidaktentuan.