SK Simpangan Dipindah ke Tapak Baharu, Lebih Selamat Dari Banjir

SK Simpangan Dipindah ke Tapak Baharu, Lebih Selamat Dari Banjir

0
SHARE

PAITAN: Isu banjir yang sekian lama menjejaskan operasi Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan bakal diselesaikan apabila sekolah itu akan dipindahkan ke lokasi baharu yang lebih selamat di kawasan Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Kampung Simpangan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, cadangan pemindahan tersebut dibuat susulan keadaan tapak asal sekolah yang rendah serta terdedah kepada risiko banjir berulang.

Menurut beliau, kawasan KPD Kampung Simpangan dikenal pasti sebagai lokasi strategik yang lebih sesuai, mengambil kira faktor keselamatan serta keperluan jangka panjang murid dan warga sekolah.

“Adalah wajar SK Simpangan yang sering dilanda banjir dipindahkan ke kawasan yang lebih tinggi berhampiran Kampung Simpangan iaitu di tapak KPD yang dicadangkan oleh JKKK susulan tapak asal sekolah tersebut sangat rendah dan berhampiran dengan sungai.

“Pada masa sama, saya juga mencadangkan agar tapak asal pembinaan SK Simpangan di pekan Paitan dijadikan sebagai SK Pekan Paitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak binaan sekolah sementara SK Simpangan di Pekan Tamu Mingguan Pekan Paitan, di sini, pada Sabtu.

Tambahnya, cadangan pemindahan itu akan melalui proses pewartaan tanah yang akan dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Ukur sebelum diangkat ke peringkat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi kelulusan selanjutnya.

Dalam pada itu, bagi memastikan sesi pembelajaran murid tidak terganggu, penempatan sementara akan disediakan di Dewan Terbuka SMK Simpangan dengan pembinaan sekatan atau ‘partition’ yang bersesuaian.

“Langkah ini penting bagi memastikan murid terus mendapat akses kepada pendidikan dalam suasana yang kondusif sementara menunggu pembinaan sekolah baharu diselesaikan,” jelas beliau.

Dalam lawatan sama, beliau turut mengunjungi SMK Simpangan serta menerima taklimat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengenai perkembangan semasa pendidikan di kawasan tersebut.

Usaha pemindahan ini dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah, di samping memperkasa infrastruktur pendidikan luar bandar di Sabah.