KENINGAU, SABAH – DUA (2) kertas siasatan polis dibuka terhadap Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar, atas dakwaan beliau kononnya berlaku penjualan kanak-kanak akibat seorang ibu terdesak sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung.
Kenyataan media beliau bertarikh 16 Jun menyatakan tiga beradik telah diselamatkan pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Keningau di sempadan Malaysia-Indonesia selepas cuba dijual oleh ibu kandung mereka.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali pada hari yang sama menafikan kenyataan Raymond mengatakan bahawa tiada kes penjualan anak atau pemerdagangan manusia berlaku.
Pada keeskoan hari Raymond sekali lagi mengeluarkan sebuah kenytaan yang mempertahankan kenyataan awal beliau mengatakan hal itu sebenarnya berlaku.
Menurut Ketua Polis Daerah Keningau, DSP Shahrudin Mat Husain, kedua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
“Ibu kanak-kanak terbabit sudah tampil membuat laporan polis dengan tegas menafikan kedua-dua kenyataan pemimpin politik terbabit…
“PDRM sentiasa peka dan mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam berkaitan jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” katanya.
Shahrudin menasihati masyarakat supaya isu seperti ini jangan ditular tanpa merujuk kepada polis terlebih dahulu bagi menjaga ketenteraman awam khususnya di kawasan pedalaman.
“Kenyataan itu perlu diambil perhatian serius kerana ia seolah-olah boleh berleluasa tanpa kawalan pihak berkuasa,” tambahnya.
Terdahulu Shahrudin berkata kes itu sebenarnya melibatkan pasangan suami isteri yang ditahan berkaitan kes dadah.
Katanya, suspek lelaki ditahan dan didakwa di mahkamah kerana memiliki dadah pada 22 Mei lalu manakala ibu kanak-kanak terlibat turut didapati positif methamphetamine pada 11 Jun.
“Ketika wanita itu ditangkap, dua anaknya berusia lima tahun dan tujuh bulan yang ada bersamanya diserahkan kepada JKM. Seorang lagi anak berusia tujuh tahun turut diserahkan kepada jabatan itu keesokannya…
“Wanita itu mengutip derma daripada orang awam untuk membayar ikat jamin mahkamah suaminya,” katanya bila dihunbungi wartawan.