
KOTA KINABALU, SABAH – Belum ada petanda positif pada hari ketiga operasi mencari pemandu kenderaan jenis Perodua MyVi yang hanyut dibawa air deras banjir ketika cuba melintas jambatan konkrit di Jalan Kiansom Lama, petang Jumaat lalu.
Seramai 110 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dan pihak Polis mengaktifkan semula pencarian kira-kira pada pukul 7 pagi tadi untuk mengesan mangsa terakhir, Simon Sanga Tupe yang berusia 68 tahun.
Semalam, mayat penumpang Juning Maturun, 37, ditemui pada ruang pemandu kenderaan yang ditarik keluar, kira-kira 400 meter daripada tempat asal kejadian sekitar pukul 11 pagi.
Pada 3.30 petang hari yang sama, penduduk berhampiran tempat kejadian di Kampung Pomotodon menjumpai dokumen milik Simon yang menyangkut pada reban ayam terletak di di Kampung Pomotodon.

Cuaca cerah dan air sungai yang beransur surut hari ini menaikkan harapan bagi menemukan mangsa, namun usaha pencarian yang digandakan dengan unit anjing K9 polis dan bomba, Pasukan Gerakan Am (PGA), unit dron Pasukan Gerakan Udara dan Polis Marin belum lagi membuahkan hasil.

Penduduk kampung turut berganding bahu dalam misi tersebut dengan melerai longgokan serpihan kayu terkumpul pada lengkuk-lengkuk sungai yang berkemungkinan menjadi tempat mayat menyangkut.
Ketua Balai Bomba Penyelamat Lintas selaku ketua operasi, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata operasi mencari dan menyelemat (SAR) akan berterusan selama tujuh hari.
“Pasukan (bomba) dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Salah satunya melibatkan kayak yang menggunakan kaedah ‘water surface searching’ (kaedah mencari atas permukaan air) sebahagian besar sungai Kionsom…
“Anjing unit K9 digunakan bagi menghidu kawasan longgokan kayu merangkumi jarak empat (4) kilometer daripada mana kenderaan mangsa dijumpa,” katanya.

Beliau berkata polis melaporkan serpihan ‘bumper’ dan tayar kereta mangsa dijumpai sejauh 6.4 kilometer di arah bawah sungai mengalir berhampiran pekan Inanam tengah hari tadi.
Manakala, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, pasukan elit Tiger Platoon PGA telah meniliti sepanjang kawasan tebing sungai.
“Pasukan Polis Marin juga membuat pemantauan di bahagian laut jika adanya sebarang tanda mangsa.”

Beliau turut menasihati orang awam untuk berhenti menjadi penyebar berita palsu mahupun spekulasi kerana itu hanya akan menambah kebimbangan ahli keluarga mangsa.
“Ini juga akan menarik perhatian orang lain yang tidak kena mengena bagi membahayakan diri dengan tampil membantu…
“Jangan terlalu ghairah (dengan menyebarkan berita tidak sah). Tunggu fakta rasmi daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana,” nasihatnya.