KOTA KINABALU, SABAH – Pengasas UMNO Sabah, Datuk Juhari Janan semalam mengumumkan keluar dari parti terbabit dan memutuskan untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Dalam satu sidang medianya semalam, beliau yang pernah menjadi pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu membuat dakwaan keputusannya untuk menyertai Gagasan Rakyat turut disertai 2,000 Ahli UMNO Kinabatangan daripada 35 buah cawangan.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan mengambil langkah itu bagi mengukuhkan lagi parti rakyat Sabah disamping menuntut agar Perjanjian Malaysia (MA63) ditunaikan sepenuhnya dengan kadar segera.
“Saya keluar daripada UMNO, maknanya saya sudah 32 tahun, sudah lama dalam parti itu. Saya beralih dan akan menyertai secara beramai-ramai dengan rakan-rakan ini untuk menyertai Gagasan Rakyat.
“Saya masuk ini (menyertai Gagasan Rakyat) kerana memikirkan negeri Sabah ketinggalan daripada Sarawak. Jadi kita mahu melihat apa yang Sarawak minta dengan Persekutuan, kita pun Sabah minta dengan Persekutuan dapat.
“Jadi biarlah kesamarataan itu ada pada kita orang-orang Sabah yang menyokong parti tempatan dibawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.
Turut hadir dalam sidang media tersebut melibatkan beberapa ketua cawangan daripada Parti Warisan (WARISAN), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).