TAMPARULI: Dr. Bonaventure Boniface dipilih sebagai Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.14 Tamparuli bagi sesi 2026–2029 selepas menewaskan Madin Anak dalam pertandingan dua penjuru pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-41 bahagian itu di Dewan Tun Hamdan, kelmarin.
Dalam ucapan sulungnya, Dr. Bonaventure merakamkan penghargaan kepada para perwakilan atas kepercayaan yang diberikan sambil menegaskan kemenangan tersebut adalah milik seluruh warga PBS Tamparuli.
Beliau turut merakamkan penghormatan kepada bekas Ketua Bahagian, Datuk Seri Jahid Jahim, atas kepimpinan selama enam penggal dan mencadangkan beliau dilantik sebagai Penasihat Bahagian bagi memastikan pengalaman serta kebijaksanaannya terus dimanfaatkan.
Beliau turut menyeru semua ahli menutup lembaran pertandingan dan kembali bersatu bagi memperkukuhkan parti serta mendekati rakyat.
“Mulai hari ini, tiada lagi pasukan saya atau pasukan lawan. Yang ada hanyalah satu pasukan PBS Tamparuli.
“Tanggungjawab kita sekarang ialah memperkukuh parti, mendekati rakyat dan memastikan PBS terus menjadi wadah perjuangan yang relevan demi masa depan Tamparuli dan Sabah,” katanya.
Pada masa sama, Dr. Bonaventure mengemukakan usul agar tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi pada Kongres PBS akan datang.
Selain mencadangkan Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, diangkat sebagai Presiden bagi sesi 2026–2029 demi menjamin kesinambungan kepimpinan, perpaduan parti dan memperkukuhkan kedudukan PBS dalam kerajaan negeri.
Dalam pemilihan sayap parti, Rizkam Wenddy Yabin berjaya mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda selepas menewaskan George Bagang, manakala Maclyn Gabu dipilih sebagai Ketua Pergerakan Wanita tanpa bertanding.
AGM yang dihadiri kira-kira 650 perwakilan itu berlangsung selepas 85 daripada 89 cawangan berjaya mengadakan mesyuarat agung masing-masing, sekali gus memenuhi syarat perlembagaan parti.
Mesyuarat berakhir dengan komitmen seluruh perwakilan untuk terus memperkukuhkan perpaduan, kestabilan dan peranan PBS dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.






