KENINGAU: Ketua Wiranita Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) Bahagian N.40 Bingkor yang juga Naib Exco Wiranita negeri, Jennifer Epil, mengumumkan peletakan jawatan serta penarikan diri daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, keputusan itu turut disertai sebahagian Ahli Jawatankuasa Wiranita bahagian berkenaan yang telah mencapai kata sepakat untuk keluar parti selepas membuat pertimbangan teliti.
Menurutnya, langkah tersebut diambil dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk hala tuju perjuangan parti, aspirasi semasa serta peranan wanita dalam landskap politik tempatan yang dilihat tidak lagi seiring dengan prinsip dan pendirian mereka.
Dalam pada itu, Jennifer merakamkan penghargaan kepada kepimpinan STAR Sabah atas kepercayaan, peluang dan pengalaman sepanjang penglibatannya dalam parti.
Katanya, pengalaman tersebut telah membentuk beliau dan rakan-rakan sebagai wanita yang lebih berani, bertanggungjawab serta peka terhadap kepentingan rakyat dan pembangunan negeri Sabah.
Beliau turut menegaskan pengunduran itu tidak bermakna perjuangan mereka terhenti, sebaliknya akan terus menyumbang kepada masyarakat dalam kapasiti yang lebih sesuai dan berkesan, selaras dengan nilai serta prinsip yang diyakini.






