KOTA MARUDU: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 50 tahun ditahan polis selepas dipercayai menetak isterinya menggunakan parang sehingga menyebabkan mangsa mengalami 14 kecederaan dalam kejadian di Kampung Mangkupa, Jalan Popok, dekat sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.06 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan wanita tempatan berusia 40 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah sebelum dibawa ke Hospital Kota Marudu dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan, manakala suspek dipercayai melarikan diri ke kawasan kebun sawit berhampiran sejurus selepas kejadian.
“Pada jam lebih kurang 12.15 tengah hari hari yang sama, suspek telah hadir menyerah diri di Balai Polis Kota Marudu sebelum ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Pemeriksaan di lokasi kejadian bersama Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sabah turut berjaya menemui semula sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian selepas disembunyikan di kawasan semak berhampiran,” katanya dalam kenyataan media.
Simiun berkata, polis turut merampas pakaian dipercayai dipakai suspek ketika kejadian yang ditemui di kawasan semak berhampiran kebun pisang.
Menurut beliau, mangsa mengalami 14 kesan luka akibat ditetak namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.
“Suspek kini direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya,” katanya.






