G57 Saran Bung Ikut Nasihat Presiden Umno: Jaga Kerjasama Kerajaan Perpaduan Di...

G57 Saran Bung Ikut Nasihat Presiden Umno: Jaga Kerjasama Kerajaan Perpaduan Di Sabah 

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar disarankan mengikuti nasihat Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, agar kerjasama baik antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan di Sabah khususnya dapat dijamin.

Sebaliknya, menurut Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, Bung dan penyokongnya terus membuat provokasi terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sehingga menganggu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.

“Hentikan melakukan provokasi terhadap kepimpinan Hajiji demi kestabilan politik di Sabah memandangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) juga adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Zahid menerusi catatan Facebook semalam selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato’ Onn World Trade Center menyatakan perpaduan adalah kunci resepi ketika menghadapi cabaran.

Zulkarnain juga menggesa agar Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menarik balik perlantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di seluruh Sabah.

“Ianya jelas melanggar peruntukan undang-undang negeri. Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebelum ini telah meluluskan pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah.

“Pindaan itu kini memberi kuasa dan autonomi kepada Kerajaan Sabah untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sabah.

“Ini bermakna penubuhan JPKKP di Sabah di bawah KKDW jelas bertentangan dengan undang-undang,” tegas beliau.

Beliau berkata GRS dan PH Sabah sendiri membantah penubuhan JPKKP tetapi Bung berkeras dengan menyerahkan surat perlantikan kepada wakil JPKKP di setiap daerah di Sabah.

“Lambat laun tindakan ini akan mengundang ketidakstabilan politik di peringkat akar umbi malahan dikhuatiri boleh menyebabkan pergaduhan kerana sudah pasti akan berlaku pertindihan kerja di peringkat kampung,” jelasnya.