KUCHING – Usul kementerian mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini. Usul tersebut dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas disokong oleh Tan Sri Dr James Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri.
Memetik kenyataan Utusan Borneo, Speaker DUN, Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar meluluskan usul tersebut selepas dibahaskan dan menerima sokongan majoriti daripada ahli-ahli DUN. Uggah dalam usulnya berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu pada 16 September lepas memberi jaminan akan memberikan hak-hak Sabah dan Sarawak dalam MA63.
Jaminan ini menurut Uggah bukan sekadar retorik politik sebaliknya menunjukkan tindak balas positif Kerajaan Persekutuan kepada inisiatif Sarawak untuk mendapatkan semula hak-hak dibawah Perjanjian Malaysia.
“Kerajaan Negeri mahu semua isu penting perlembagaan ini diselesaikan tanpa tindakan perundangan.
“Apabila isu ini diselesaikan, negara kita menurutUggah akan lebih bersatu dan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan kekal harmoni. Kelulusan usul ini tidak seharusnya disalahtafsir. Sarawak hormat keputusan pemimpin terdahulu dan akan terus kekal dalam Malaysia,” katanya yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah.