PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri menafikan bahawa kerajaan menarik dan mengurangkan kemudahan yang disediakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Memetik laporan Kosmo Online, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Mahathir telah dibekalkan dengan perjawatan yang meliputi pejabat beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) serta kediaman di The Mines Resort City, Selangor selaras dengan Akta Ahli Parlimen (Saraan), 1980 (Akta 327).
“Keseluruhan perjawatan yang diperuntukkan kepada Mahathir adalah sebanyak 21 perjawatan.
“Semua perjawatan ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan meliputi pembayaran gaji, elaun tuntutan dan lain-lain kemudahan yang layak dinikmati sebagai penjawat awam, kerajaan turut menanggung bayaran ulitili di YKP serta kediaman rasmi Mahathir sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, kerajaan juga menanggung kos bagi bayaran elaun makan dan lain-lain kos kepada juruiring, pegawal peribadi, pegawai perubatan dan penolong pegawai khas bagi lawatan yang dihadiri Mahathir ke luar negara.
“Justeru, kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa tiada sebarang kemudahan yang ditarik balik dan layanan sama rata diberikan kepada kesemua mantan Perdana Menteri,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai laporan yang mengatakan khidmat anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang menjadi pengiring peribadi Mahathir telah ditarik balik oleh kerajaan, namun perkara itu dinafikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_32.htm#ixzz4xw3Wezyj
Hakcipta terpelihara