KOTA KINABALU: Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah terus memperkukuh peranannya sebagai jambatan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan China menerusi penganjuran Majlis Makan Malam Alu-aluan dan Jaringan bagi meraikan delegasi Persekutuan Perindustrian dan Perdagangan Dalian, sekali gus membuka lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan serta kerjasama strategik antara Sabah dan wilayah itu.
Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau Wei Dick, berkata lawatan balas delegasi Dalian dari 27 hingga 30 Jun itu merupakan kesinambungan hubungan yang terjalin selepas kunjungan MCCC Sabah ke Dalian pada Mei lalu, selain menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai sektor.
“MCCC Sabah komited menjadi jambatan yang menghubungkan Malaysia dan China. Kami berhasrat menjadi hentian pertama bagi syarikat-syarikat China yang ingin melabur di Sabah dan Malaysia Timur, di samping menjadi rakan kongsi paling dipercayai kepada syarikat Sabah yang ingin meneroka pasaran China,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Beliau berkata, MCCC Sabah bukan sahaja menggalakkan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, malah turut memperluaskan hubungan dalam sektor kerajaan, pendidikan, pelancongan, budaya, teknologi serta pertukaran belia bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Menurutnya, sepanjang tahun MCCC Sabah telah membina rangkaian kerjasama yang kukuh dengan kerajaan China di pelbagai peringkat, persekutuan industri dan perdagangan, persatuan perniagaan serta perusahaan di China, selain agensi kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri Sabah dan organisasi perniagaan utama.
Dexter berkata, majlis itu turut menghimpunkan wakil persatuan alumni universiti China serta ahli akademik Universiti Xiamen, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat Sabah, khususnya ibu bapa, mendapatkan maklumat mengenai sistem pendidikan tinggi di China sebagai pilihan pendidikan berkualiti untuk anak-anak.
“Kerjasama ekonomi, pertukaran budaya dan pendidikan saling melengkapi. Kami berharap lebih banyak peluang pertukaran belia, kerjasama akademik dan projek bersama dapat diwujudkan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Dalian Kowa Foods Co., Ltd., Liu Yong, berkata Dalian merupakan antara bandar pesisir utama China yang mempunyai industri perikanan dan pemprosesan makanan laut yang maju serta menjadi salah satu pangkalan pengeluaran makanan laut terbesar negara itu.
Beliau berkata, lawatan MCCC Sabah ke Dalian pada Mei lalu telah meletakkan asas kukuh kepada kerjasama masa depan, manakala lawatan balas delegasi ke Sabah bertujuan meninjau potensi sumber semula jadi dan kekuatan industri negeri ini bagi merealisasikan projek kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Delegasi Dalian yang diketuai Liu Yong turut disertai Pengasas dan Pengerusi Dalian Shuiyifang Group, Zhou Jing, Naib Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Liaoning, Fredrik Choi, serta beberapa usahawan lain yang menyertai sesi jaringan perniagaan, lawatan korporat dan padanan perniagaan sepanjang lawatan mereka di Sabah.
Majlis tersebut turut dihadiri Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr. Zhu Xinglong; Presiden Kehormat MCCC Sabah Datuk Lau Kok Sing; Timbalan Setiausaha Tetap I (Industri) Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Suhaib Ismail;
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Julinus Jeffrey Jimit; serta pemimpin pelbagai dewan perniagaan; persatuan industri; syarikat berkaitan kerajaan (GLC); badan profesional dan; komuniti perniagaan dari Sabah.






