KOTA KINABALU, SABAH – Sabah akan menyambut Hari Sabah pada 31 Ogos bagi memperingati hari ia menjadi sebuah negara merdeka 60 tahun lalu, umum Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata Kabinet Negeri membuat keputusan itu semasa mesyuaratnya minggu lepas dan telah memilih Tambunan sebagai lokasi bagi sambutan yang julung kali diadakan.
“Ia juga diputuskan bahawa perayaan itu menandakan peristiwa penting sejarah Sabah, akan diraikan setiap tahun yang akan dilaksanakam secara bergilir antara daerah.
“Marilah kita menghormati dan memperingati hari yang menandakan berakhirnya penjajahan British memerintah di Sabah dan menandakan perjalanan kita untuk bersatu sebagai rakyat untuk mewujudkan pemerintahan sendiri,” katanya.
Sabah seterusnya membentuk Persekutuan Malaysia dengan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963.
Beliau berkata acara di Tambunan itu dijadualkan pada pukul tiga petang selepas sambutan Hari Kebangsaan di sini.