PKR Intai 13 Kerusi Di Sabah, Nurul Izzah Harap Anwar Dapat Runding

PKR Intai 13 Kerusi Di Sabah, Nurul Izzah Harap Anwar Dapat Runding

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden baharu PKR, Nurul Izzah Anwar, mengumumkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 13 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Beliau berharap agar Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dapat berunding dengan komponen PH dan parti sekutu yang lain bagi mencapai sasaran tersebut.

Anwar sebelum itu berkata Biro Politik parti akan mengadakan mesyuarat khas, kemungkinan pada 29 Mei, bagi membincangkan persiapan menghadapi PRN Sabah.

“Kita perlukan presiden untuk merundingkan minimum 13 kerusi di Sabah,” kata Nurul Izzah memetik laporan Free Malaysia Today.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di Johor Bahru hari ini, beliau turut menggesa ahli parti dari semua negeri untuk giat berkempen dalam PRN Sabah.

“Jangan lupa, tanggungjawab telah diberikan. Jadi saya menyeru pasukan kita dari Selangor, Johor dan negeri-negeri lain untuk membantu kempen di Sabah.

“Pastikan kita hadir dengan kekuatan penuh untuk membantu kempen. Paling penting, kita mesti menang sebagai satu gerakan yang bersatu,” tambahnya.

Sebelum ini, PH dan Barisan Nasional telah mengumumkan hasrat mereka untuk bekerjasama dalam PRN Sabah yang akan datang.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah berkata komponen tempatan itu bersedia bertanding solo jika perlu.

PKR hanya berjaya memenangi dua kerusi pada PRN lalu pada 2020 Sept iaitu Inanam dan Api-Api setelah bergabung dengan Warisan.

Namun, ianya dengan bantuan enam ADUN Pakatan Harapan Sabah yang membolehkan GRS mengekalkan tampuk kepimpinan ketika cuba digulingkan Barisan National dan Warisan pada 2023.

Tempoh penggal DUN akan tamat pada 11 November dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.