Kemanusiaan Tidak Boleh Disempitkan Oleh Sempadan – PMX Tegas Bantuan Menyeluruh Tanpa...

Kemanusiaan Tidak Boleh Disempitkan Oleh Sempadan – PMX Tegas Bantuan Menyeluruh Tanpa Kira Status Kewarganegaraan

0
SHARE
YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim meninjau lokasi bencana kebakaran di Kampung Bahagia dan melawat mangsa yang terjejas di PPR Taman Batu Sapi, Sandakan, Sabah. 22 April 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

SANDAKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi akan disalurkan secara menyeluruh tanpa mengira status kewarganegaraan, dengan prinsip kemanusiaan sebagai keutamaan utama.

Menurut beliau, dalam situasi bencana yang menjejaskan kehidupan ramai pihak, bantuan tidak boleh dibataskan oleh sempadan, sebaliknya keperluan asas mangsa perlu diberikan perhatian segera.

“Namun dalam saat getir seperti ini, kemanusiaan tidak boleh disempitkan oleh sempadan. Kita bantu setakat yang terdaya meliputi makan, minum, tempat berteduh dan keselamatan,” katanya dalam kenyataan di Facebook selepas mengadakan lawatan ke lokasi kebakaran serta menyantuni mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS), pada Rabu.

Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan tidak akan membiarkan mangsa berdepan kesukaran bersendirian, dengan pelbagai bantuan segera telah digerakkan termasuk wang ihsan kepada keluarga dan pelajar, keperluan asas serta penyediaan tempat perlindungan sementara dengan kerjasama Kerajaan Negeri.

Beliau turut mengakui kesedihan yang dirasai selepas melihat sendiri keadaan mangsa, khususnya kanak-kanak dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata.

“Saya akui, hati ini benar-benar luluh melihat anak-anak kecil yang masih belum mengerti apa yang terjadi, ibu bapa yang menahan tangis dalam diam, dan keluarga yang kini hanya bergantung pada sisa kekuatan yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan usaha pemulihan sedang dipercepatkan bagi memastikan mangsa dapat kembali menjalani kehidupan lebih selamat dan bermaruah, termasuk memastikan anak-anak dapat kembali ke sekolah dalam tempoh terdekat.

Beliau turut mendoakan agar semua mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut, serta berharap kesedihan yang dialami dapat digantikan dengan harapan baharu.