KOTA KINABALU: Seramai 30 usahawan inap desa dari seluruh Sabah menyertai Program Latihan dan Bimbingan Perseorangan Bumiputera INSKEN (BANGKIT): Eco-Tourism Sabah 2026 selama tiga hari bermula Isnin di The Palace Hotel, di sini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Ewon Benedick berkata, program berkenaan merupakan yang pertama daripada tiga program BANGKIT hasil kerjasama kementeriannya bersama Institut Keusahawanan Negara pada tahun ini.
“Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah bekerjasama dengan INSKEN bagi melaksanakan tiga program BANGKIT di Sabah sepanjang tahun ini.
“Program ini adalah inisiatif pembangunan usahawan oleh INSKEN dengan kerjasama strategik MINDET dalam usaha memperkasa usahawan tempatan ke tahap yang lebih kompetitif, mampan dan berskala,” katanya selepas menghadiri sesi Meet & Greet bersama peserta program, di sini pada Rabu.
Menurutnya, program tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan melalui latihan intensif serta bimbingan berstruktur oleh pakar industri termasuk pengusaha inap desa berpengalaman.
“Saya berharap Program BANGKIT ini dapat membantu memacu usahawan eko-pelancongan untuk terus berjaya. Saya doakan kejayaan semua,” katanya.
Ewon berkata, Program BANGKIT Sabah 2026 memberi fokus kepada tiga sektor utama iaitu eko-pelancongan, pencipta kandungan untuk perniagaan digital serta makanan dan minuman (F&B), dengan matlamat meningkatkan kemahiran, produktiviti dan daya saing usahawan tempatan.
Beliau menjelaskan, program berkenaan dilaksanakan selama tiga bulan menerusi pendekatan menyeluruh merangkumi tiga fasa, iaitu bengkel intensif selama tiga hari, diikuti sesi bimbingan individu (coaching one-on-one) bersama pakar industri serta pendedahan praktikal melalui lawatan industri dan aplikasi terus dalam perniagaan.
Katanya, inisiatif itu juga bertujuan membantu usahawan mikro meningkatkan skala perniagaan secara berstruktur serta memberi pendedahan praktikal berimpak tinggi bagi memastikan kelangsungan dan pertumbuhan sektor keusahawanan di Sabah.






