KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Aras Integrasi Sdn Bhd bagi membangunkan ekosistem Kecerdasan Buatan (AI) berdaulat pertama di Sabah, dengan fokus memperkukuh kapasiti pendidikan merangkumi sekolah, tenaga pengajar serta institusi pengajian tinggi awam.
MoU tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Tetap KPSTI, Datuk Hassan Mahali dan Ketua Pegawai Perniagaan Aras Integrasi, Effie Rizal, sekali gus menandakan permulaan kerjasama strategik jangka panjang dalam melaksanakan penggunaan teknologi AI secara bertanggungjawab dan beretika di negeri ini.
Menteri KPSTI, Datuk James Ratib berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Sabah dalam menerajui pembangunan AI yang berteraskan nilai tempatan serta kedaulatan data.
“Sabah tidak menunggu masa depan datang. Kita sedang merealisasikannya. MoU ini adalah deklarasi bahawa perjalanan AI Sabah akan diterajui oleh rakyat kita sendiri dan direka untuk memberi manfaat kepada setiap pelajar serta pendidik,” katanya di sini pada Rabu.
Kerjasama tersebut digerakkan melalui Sabah Sovereign AI Roadmap yang dibangunkan bersama, berteraskan empat tunjang utama iaitu pendidikan sebagai pengganda impak, tadbir urus AI berdaulat, kesiapsiagaan berteraskan manusia serta pelaksanaan berdisiplin.
Di bawah kerangka itu, pelaksanaan program AI akan dilakukan secara berfasa melibatkan sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta kampus Institut Pendidikan Guru (IPG), bermula dengan pembinaan kesedaran, pemahaman keperluan, pembangunan prototaip sebelum diperluas secara berskala besar.
Dalam pada itu, kerjasama berkenaan turut memberi penekanan kepada akses saksama teknologi AI termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman melalui keupayaan AI luar talian (offline), bagi memastikan tiada pelajar tercicir dalam transformasi digital negeri.
Platform AI yang dibangunkan juga akan menyokong pelbagai bahasa termasuk Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin serta dialek tempatan Sabah bagi memastikan keterangkuman budaya dan bahasa dalam ekosistem pendidikan digital.
Selain itu, aspek kedaulatan data menjadi teras utama pelaksanaan apabila semua data pendidikan Sabah akan diproses dalam persekitaran selamat dan mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, dengan mekanisme kawal selia termasuk pengawasan manusia, audit tempatan serta garis panduan etika AI yang jelas.
Sementara itu, Aras Integrasi menyifatkan kerjasama ini sebagai mandat rasmi pertama di peringkat kerajaan negeri di Malaysia untuk melaksanakan model AI Integration Framework (AIF) secara institusi, sekali gus membuka potensi peluasan ke negeri dan sektor lain.
Direktornya, YM Tengku Ahmad Firhan Shah Tengku Abd Rahman berkata, kerjasama itu bukan sahaja memperkukuh pembangunan teknologi tempatan, malah menjadi bukti konsep kepada pelaksanaan AI berdaulat di Malaysia.
Keperluan kepada inisiatif ini dilihat semakin mendesak apabila penggunaan AI dalam kalangan pelajar semakin meningkat, namun tahap kesiapsiagaan pendidik masih rendah, sekali gus menuntut pendekatan menyeluruh dan tersusun dalam memperkasa ekosistem pendidikan berasaskan teknologi di Sabah.






