Kementerian MAF Pastikan Sabah Bebas Dari Penyakit Kaki Dan Mulut

Kementerian MAF Pastikan Sabah Bebas Dari Penyakit Kaki Dan Mulut

0
SHARE
Datuk Dr Jeffrey Kitingan...

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pertanian dan Perikanan (MAF) mengambil semua langkah berjaga-jaga bagi mengelak penyakit kaki dan mulut (FMD) yang membelenggu negara jiran Indonesia daripada terus merebak ke Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata Sabah telah diisytiharkan bebas FMD.

Status itu diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) sejak tahun 2005.

FMD adalah penyakit yang sangat berjangkit yang memberi kesan kepada haiwan berkuku belah seperti lembu, kerbau, biri-biri, kambing dan babi.

“Sabah ketika ini sudah pun memerangi Demam Babi Afrika (ASF). FMD mesti dielakkan sama sekali…

“Berikutan itu, kementerian telah mengambil langkah segera untuk mewajibkan semua pejabat veterinar di seluruh Sabah menjalankan pemeriksaan perubatan yang rapi terhadap semua jenis ternakan yang akan diangkut ke daerah lain,” katanya.

Jeffrey yang juga menteri Pertanian dan Perikanan berkata, kementeriannya juga mewajibkan semua pergerakan ternakan ke daerah lain didokumentasikan menggunakan borang atau sijil pergerakan.

Borang atau sijil tersebut yang dikeluarkan dan boleh didapati dari pejabat-pejabat daerah DVS Sabah di seluruh negeri menyatakan keadaan kesihatan ternakan dengan betul dan jelas.

Tambah beliau, Kementerian juga akan menasihati petani supaya mengenakan syarat bio-sekuriti yang ketat di semua ladang ternakan seperti memasang alat penyembur kenderaan, mengkuarantin pekerja asing khususnya dari negara jiran Indonesia sebelum membenarkan mereka kembali bekerja dan melarang pengunjung luar memasuki ladang mereka.

“Pada masa ini, jangan bawa ternakan atau produk daging tambahan yang dibekalkan dari negara jiran dengan kes FMD ke dalam ladang anda,” kata Jeffrey.

Sementara itu, Pengarah DVS Sabah, Dr Normah Yusop, menasihatkan penternak supaya berhati-hati terhadap gejala FMD dalam ternakan mereka.

Penyakit ini dicirikan dengan demam panas yang menurun dengan cepat selepas dua hingga tiga hari, lepuh di dalam mulut yang membawa kepada perembesan air liur berlebihan atau mulut berbuih dan lepuh pada kaki yang boleh pecah dan menyebabkan kelumpuhan.

“Sekiranya anda perasan mana-mana gejala ini pada ternakan anda, sila hubungi DVS dengan segera. Kita perlu membendung jangkitan ini kerana ia berpotensi menghapuskan industri ternakan kita yang sederhana,” tegasnya.