Kudat Punyai Potensi Besar Untuk Pelancongan Desa

Kudat Punyai Potensi Besar Untuk Pelancongan Desa

0
SHARE

 

KUDAT, SABAH – Daerah Kudat digelar sebagai “Bali of Borneo” disebabkan persamaan aktiviti produk pelancongan yang mampu menarik pelancong luar negara jika dikembangkan.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayan, dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, berkata daerah ini mempunyai banyak potensi dari segi pelancongan luar bandar kerana kecantikan alam semulajadinya dan pulau-pulau yang mempunyai cerita unik tersendiri.

“Bali terkenal dengan kebudayaan dan aktiviti sukan papan luncur air atau ‘surfing’…

Datuk Joniston Bangkuai bersama komuniti Kampung Tajau Laut ketika melancarkan Persatuan Penggerak Komuniti Desa Tajau Laut di Kudat…

Kudat juga mempunyai semua itu dengan pantai yang jernih dan ombak yang sesuai untuk aktiviti ‘surfing’.

“Namun, ini terpulang kepada komuniti untuk mempopularkan Kudat dan menonjolkan keunikan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan,” katanya pada pelancaran Persatuan Penggerak Pelancongan Komuniti Desa Tajau Laut di sini, pada Jumaat.

Turut hadir adalah Persatuan Persekutuan Pelancongan Luar Bandar Sabah , Walter Kandayon, Ketua Kampung Tajau Laut, Lamat Alip; Ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Tajau Laut, Abdul Salleh; dan presiden Persatuan Penggerak Pelancongan Komuniti Desa Tajau Laut, Junaidi Awang Bulat.

Joniston, yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, berkata pihak Kementerian dan pihak Lembaga sentiasa bersedia membantu mempromosikan produk-produk pelancongan yang ada di Kudat.

“Dalam pada itu juga, komuniti setempat harus melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai destinasi-destinasi dan aktiviti-aktiviti menarik yang boleh diperkenalkan kepada pengunjung luar apabila mereka datang ke sini. 

“Saya amat berbangga melihat komuniti Tajau Laut mengamalkan semangat perpaduan dan bersatu hati mengusahakan aktiviti pelancongan. Saya juga melihat Persatuan Penggerak Pelancongan Komuniti Desa Tajau Laut ini boleh menjadi contoh kepada kampung-kampung lain di Kudat.

“Kesatuan dan kerjasama ini amat penting, lebih-lebih lagi apabila pelancong datang untuk melihat dan mempelajari sendiri bagaimana komuniti kampung mewujudkan aktiviti pelancongan di kawasan masing-masing,” tambahnya.

Beliau turut berkata Kudat telah mendapat manfaat daripada bantuan kewangan khas Kerajaan Negeri bagi membantu pengusaha pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Bagi daerah Kudat, seramai 16 pengusaha telah berjaya memohon bantuan peruntukan khas yang membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM305,930 dan Tajau Laut Guesthouse merupakan salah satu penerima.

Persatuan Penggerak Pelancongan Komuniti Desa Tajau Laut ditubuhkan setahun lalu untuk menggalakkan penduduk kampung mengambil bahagian dalam membangunkan Kampung Tajau Laut menjadi produk pelancongan baru.

Pada masa ini, kampung ini hanya mempunyai sebuah penginapan pelancong iaitu Tajau Laut Guesthouse yang dikendalikan oleh Junaidi.

Pelancong dan pelawat boleh menikmati aktiviti snorkeling, berkayak, memancing, pemuliharaan karang, dan memasak, antara lain di Kampung Tajau Laut.

Sementara itu, Lamat berkata penubuhan persatuan telah mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan kerja berpasukan penduduk kampung dimana mereka telah mula menjalankan pelbagai aktiviti bersama.

“Ada beberapa agensi dan persatuan lain juga mengadakan program di sini dan diharapkan ini dapat meningkatkan lagi potensi Kampung Tajau Laut,” katanya.

Lamat juga menggalakkan persatuan penggerak pelancongan itu untuk menarik lebih ramai penduduk kampung untuk menjadi ahli bagi memastikan tidak ada yang terpinggir daripada peluang pelancongan dan usaha memperkasakan mereka.