Teksi EV dengan sistem tukar bateri diperkenal tangani krisis bahan api

Teksi EV dengan sistem tukar bateri diperkenal tangani krisis bahan api

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Industri pengangkutan awam negara dijangka melalui transformasi besar apabila empat syarikat utama bekerjasama memperkenalkan teksi kenderaan elektrik (EV) yang dilengkapi sistem penukaran bateri automatik.

Inisiatif di bawah program Gabungan Teksi Malaysia (GTMS) itu dimeterai menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) membabitkan EV Auto Works Sdn. Bhd., Voltgem Energies Sdn. Bhd., GV Car Import Sdn. Bhd. dan Aliran Teknologi (M) Sdn. Bhd.

Turut terlibat ialah wakil Gabungan Teksi Malaysia dalam usaha memperkukuh hala tuju industri teksi nasional.

Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand, berkata kerjasama itu bertujuan mempercepat peralihan industri teksi dan e-hailing ke arah penggunaan EV berteknologi tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.

Menurutnya, sistem penukaran bateri automatik yang dibangunkan Voltgem Energies membolehkan bateri ditukar dalam tempoh singkat di stesen khas tanpa perlu menunggu proses pengecasan, sekali gus mengurangkan masa henti operasi kenderaan.

“Teknologi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah membantu pemandu menjana pendapatan lebih stabil kerana masa di jalan raya dapat dimaksimumkan,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu juga dirangka sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menangani peningkatan kos bahan api yang membebankan pemain industri.

Selain itu, satu pakej komprehensif akan ditawarkan kepada pemandu, termasuk akses percuma kepada sistem penukaran bateri selama setahun, kadar sewaan kenderaan serendah RM80 sehari serta perlindungan penyelenggaraan penuh.

Pemandu turut menerima manfaat seperti jaminan bateri, perlindungan insurans serta caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dalam perkembangan sama, semua kenderaan yang diperkenalkan mematuhi piawaian keselamatan ASEAN NCAP dan direka khusus untuk kegunaan pengangkutan awam profesional dengan penekanan terhadap keselamatan pemandu dan penumpang.

Kerjasama itu juga merangkumi pembangunan projek pemasangan tempatan secara Completely Knocked Down (CKD) bagi menghasilkan EV dengan teknologi penukaran bateri di Malaysia.

“Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kos kenderaan, malah membuka peluang pemindahan teknologi serta mengukuhkan ekosistem industri EV tempatan.

“Kami menyasarkan Malaysia muncul sebagai hab serantau bagi pembangunan EV berasaskan teknologi penukaran bateri di ASEAN,” katanya.

Kabeer berkata, usaha itu dijangka memberi impak jangka panjang termasuk mempercepat peralihan ke mobiliti elektrik negara, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih pintar dan mesra alam.

Beliau turut berharap mendapat sokongan penuh kerajaan termasuk Kementerian Kewangan; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan serta agensi berkaitan lain.