KUALA LUMPUR – Rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony, untuk mengetepikan sabitan kesalahannya akan didengar pada 15 Mac di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang baharu.
Peter berdepan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 yang dikenakan ke atasnya kerana memalsukan dokumen bagi tujuan menipu pada 2014.
Timbalan pendakwa raya Haresh Prakash Somiah berkata hakim baharu, Hakim Ahmad Bache, yang mengendalikan kes sivil, akan menggantikan Hakim Collin Lawrence Sequerah, yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan.
Jun lalu, Peter, 51, merayu terhadap hukuman itu selepas didapati bersalah memalsukan surat kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Peter didakwa atas kapasitinya sebagai pengarah urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd atas tuduhan memalsukan surat daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan kenyataan palsu dengan niat menggunakannya untuk tujuan penipuan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Setiausaha Sulit Utama Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.





