Be In Sabah Forum 2026 Angkat Sabah Sebagai Hab Acara Perniagaan Serantau

Be In Sabah Forum 2026 Angkat Sabah Sebagai Hab Acara Perniagaan Serantau

0
SHARE

KOTA KINABALU: Be In Sabah Forum 2026 terus memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab acara perniagaan serantau apabila menghimpunkan ratusan pemain industri global dalam forum dua hari yang menekankan kolaborasi antarabangsa, perkongsian ilmu dan pembangunan kapasiti industri.

Forum itu menyaksikan penyertaan 33 penceramah dari 18 negara dan wilayah serta lebih 900 delegasi dari Asia Pasifik dan rantau lain, sekali gus memperluas jaringan Sabah dalam ekosistem acara perniagaan global.

Pengerusi penganjur forum merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sabah International Convention Centre (SICC), Rosmawati Lasuki berkata, penganjuran kali ini mencerminkan kematangan platform berkenaan yang kini beralih daripada membina penyertaan kepada menjayakan perkongsian strategik jangka panjang.

Forum ini bukan sekadar mengenai skala, tetapi kesinambungan. Dalam tempoh singkat, ia berkembang daripada satu idea kepada platform tahunan yang lebih jelas tujuan dan halatujunya,” katanya ketika berucap pada forum berkenaan di sini, hari ini.

Menurut beliau, tema Global Collaborations Through Business Events menonjolkan peranan acara perniagaan sebagai pemangkin hubungan industri, kerjasama rentas sempadan dan pertumbuhan ekonomi.

Rosmawati berkata kesinambungan penganjuran sejak 2024 membuktikan komitmen industri dan rakan strategik dalam membangunkan ekosistem acara perniagaan di Sabah secara mampan.

“Kekuatan sebenar forum ini terletak pada kualiti dialog, pertukaran idea bermaklumat dan kerjasama praktikal pada standard antarabangsa,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, atas sokongan dan kepimpinan dalam memperkukuh kedudukan Sabah dalam industri acara perniagaan global melalui kerjasama sektor awam dan swasta.

Forum itu turut disokong International Congress and Convention Association (ICCA) dan Malaysian Association of Convention and Exhibition Organisers and Suppliers (MACEOS), yang membawa perspektif global serta pengalaman industri tempatan.

Dalam majlis pembukaan, beberapa Memorandum Persefahaman dimeterai antara SICC dan rakan antarabangsa serta tempatan, meliputi pertukaran ilmu, pembinaan kapasiti dan pembangunan destinasi acara perniagaan.

“Be In Sabah bukan sekadar platform pameran, tetapi platform kerja global yang membuka peluang perniagaan sebenar dan rangkaian bermakna,” kata Rosmawati.

Beliau menambah forum itu membuka peluang kepada pemain tempatan beroperasi mengikut standard antarabangsa, selain membantu peserta luar meneroka potensi pasaran ASEAN Timur yang mempunyai lebih 84 juta penduduk.

Rosmawati turut menggesa peserta memanfaatkan forum berkenaan untuk membina kolaborasi berterusan yang mampu memberi nilai jangka panjang kepada industri dan ekonomi negeri.