Lantikan Ketua Kampung, Pengerusi JKKK Tongod Tidak Dibuat Melalui Undi – Masiung

Lantikan Ketua Kampung, Pengerusi JKKK Tongod Tidak Dibuat Melalui Undi – Masiung

0
SHARE

TONGOD: Jawatan Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah Tongod tidak akan ditentukan melalui proses pemilihan secara undi, sebaliknya dibuat melalui lantikan oleh Wakil Rakyat bersama kepimpinan peringkat daerah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pendekatan lantikan lebih sesuai bagi menjamin keharmonian komuniti, berdasarkan pengalaman lalu yang menunjukkan pemilihan secara undi sering mencetuskan perpecahan dalam kalangan penduduk kampung.

“Apabila pemilihan melibatkan dua atau tiga penjuru, ia akan mewujudkan blok sokongan yang berpecah dan berpanjangan. Ini tidak membantu membina keharmonian masyarakat,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan penutupan Kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-Ketua Adat Cemerlang Daerah Tongod di Dewan Simpang Entalibon, petang semalam.

Menurut Masiung, pengalaman beliau selama lima penggal sebagai wakil rakyat di Kuamut menunjukkan keputusan popular melalui undi tidak semestinya membawa kebaikan, malah boleh memecah-belahkan komuniti kepada kumpulan yang menang dan kalah.

“Bagi saya, kaedah lantikan berdasarkan pengalaman, kewibawaan dan keupayaan memimpin adalah pilihan paling tepat untuk DUN Kuamut,” katanya.

Kursus sehari anjuran Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah itu disertai 57 ketua adat, melibatkan Ketua Daerah, Ketua-Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua-Ketua Kampung di daerah Tongod.

Turut hadir Pegawai Daerah Tongod Hadzlan Jablee, Pengarah JHEANS Nordin Lossin serta Ketua Polis Daerah Inspektor Edwan Dollah.