KOTA KINABALU, KEMASKINI: Sebanyak 12 rumah setinggan telah musnah dalam kebakaran di kawasan Skim Penempatan Telipok, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 12.45 tengah hari.
“Dilaporkan kebakaran melibatkan 13 buah rumah jenis tidak kekal yang mana 12 daripadanya terbakar 100 peratus manakala satu lagi rumah hanya terbakar bahagian bilik mandi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Operasi memadam kebakaran telah dilaksanakan oleh pasukan bomba dari BBP Lintas serta mendapat bantuan dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Tuaran.
Turut dilaporkan terdapat seorang mangsa terlibat mengalami kecederaan melecur di bahagian bahu.
“Mangsa, Hasal Alam, 51 tahun telah diberi rawatan oleh pasukan EMRS dan APM,” katanya.
Kebakaran akhirnya dapat dikawal pada jam 1.41 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.53 petang.