JAKARTA – Tujuh warga Indonesia dimasukkan ke hospital selepas mencelup tangan mereka ke dalam asid, dipercayai percubaan mereka memantapkan ilmu sihir yang menjanjikan kebolehan menjadi halimunan, menurut polis, hari ini.
AFP melaporkan bahawa upacara aneh berkenaan dilakukan minggu lalu menyebabkan mangsa berasal dari kampung Rawa Kopi terletak di pinggir Jakarta, mengalami lecur yang serius di bahagian tangan.
Seorang lelaki misteri dikenali sebagai Didi yang berpindah ke kampung itu beberapa bulan lalu, mendakwa dirinya, guru ilmu sihir tradisional dikenali sebagai Debus dengan kebolehan melindungi seseorang daripada kecederaan fizikal.
Lelaki berkenaan menawarkan mangsa belajar sihir secara percuma selain berjanji memperoleh ilmu ghaib.
“Tujuh mangsa terpedaya dengan kata-kata lelaki yang mereka rujuk sebagai ‘guru’,” beritahu ketua polis tempatan, Harry Kurniawan kepada AFP.
Bagi membuktikan kata-katanya, Didi mencadangkan mangsa terbabit merendam tangan mereka ke dalam kimia yang dipercayai polis adalah asid.
Lelaki yang mendakwa dirinya guru melarikan diri sejurus sekumpulan mangsa menerima rawatan di hospital.