INANAM: Seorang lelaki berusia 57 tahun cedera parah di bahagian kepala selepas ditimpa pokok ketika menjalankan kerja-kerja menebang pokok di Jalan Perumahan Kionsom Baru, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Kurong ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.10 petang.
Susulan itu katanya, sepasukan tujuh anggota bomba bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 23 kilometer dan tiba pda jam 4.30 petang.
“Sebaik tiba, Komander Operasi, PBK I Norkizan Durudin mengesahkan terdapat seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas ditimpa pokok ketika melakukan kerja-kerja menebang pokok.
“Mangsa berada kira-kira 700 meter dari jalan utama. Pasukan bomba bertindak memberikan bantuan awal sebelum membawa mangsa keluar menggunakan pengusung (stretcher) ke lokasi ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.48 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.






