KUCHING: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) mengumumkan pelaburan sebanyak RM30 juta bagi menubuhkan Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn Bhd menerusi kerjasama strategik dengan Yayasan Sarawak, sekali gus membuka kira-kira 500 peluang pekerjaan baharu di negeri itu.
Kerjasama itu dimeterai melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara anak syarikat KTC, Gardenia, dengan Sanjung Etika Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Yayasan Sarawak, bagi membangunkan syarikat usaha sama yang menggabungkan kepakaran pembuatan Gardenia dan pembangunan modal insan oleh Yayasan Sarawak.
Kedua-dua pihak dijangka memuktamadkan Perjanjian Usahasama (JV) serta Perjanjian Pemegang Saham dalam tempoh tiga bulan sebelum operasi syarikat baharu itu dimulakan secara rasmi.
Sebagai sebahagian daripada projek itu, KTC turut memohon tanah seluas 7.56 ekar daripada Kerajaan Negeri Sarawak untuk membina kilang pembuatan roti Gardenia.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, pelaburan berkenaan mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi ekonomi dan modal insan Sarawak yang terus berkembang.
“Sepuluh tahun lalu, KTC mula melabur di Sarawak dengan sifar pekerja. Hari ini, kami berbangga kerana telah menggaji seramai 400 rakyat tempatan Sarawak, iaitu 32.5 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja KTC.
“Ini membuktikan kecekapan pentadbiran, sistem pendidikan dan kebajikan Sarawak dalam melahirkan bakat-bakat bertaraf tinggi yang mampu memenuhi keperluan sektor swasta,” katanya.
Menurut beliau, sehingga kini KTC telah melabur kira-kira RM300 juta di Sarawak yang menjana pulangan tahunan sekitar RM400 juta, selain mengurus aset operasi dan perdagangan bernilai RM140 juta.
Katanya, impak ekonomi itu dijangka terus meningkat apabila kilang Gardenia mula beroperasi, sekali gus mengukuhkan rantaian bekalan makanan dan aktiviti perindustrian di negeri berkenaan.
Selain itu, KTC turut merancang memperkenalkan produk khas Gardenia “Sarawak Edition” yang menampilkan identiti dan warisan budaya Sarawak sebagai penghargaan kepada negeri berkenaan.
Syarikat itu juga menyatakan sokongan terhadap inisiatif Kerajaan Sarawak menubuhkan Pejabat Hubungan Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOS) di Pontianak, Indonesia, dengan merancang memanfaatkan platform berkenaan untuk meneroka peluang pelaburan rentas sempadan menggunakan Sarawak sebagai hab operasi serantau.






