Sabah Dan Sarawak Setuju Kekalkan Anwar Sebagai Perdana Menteri – Ewon

Sabah Dan Sarawak Setuju Kekalkan Anwar Sebagai Perdana Menteri – Ewon

0
SHARE
Ewon
Ewon ketika ditemui pemberita selepas Majlis Bersama Usahawan di Selangor ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

TANJONG KARANG, SELANGOR – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, parti-parti Sabah dan Sarawak sebulat suara bersetuju mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan tidak akan ada pertukaran Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, dalam beberapa siri mesyuarat sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri oleh semua presiden parti yang membentuk kerajaan perpaduan juga bersetuju mengekalkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Parti-parti daripada Sabah dan Sarawak termasuk GPS daripada Sarawak dan GRS daripada Sabah juga bersetuju memberi mandat supaya (Anwar) terus menjadi Perdana Menteri supaya kerajaan perpaduan di kerajaan persekutuan terus kekal.

“Saya menghadiri mesyuarat itu selaku presiden UPKO dan menyokong penuh keputusan itu kerana kami yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai parti berbilang kaum memahami semangat kebersamaan, semangat semua rakyat Malaysia,” katanya selepas Majlis Bersama Usahawan, di Selangor, kelmarin.

Ewon berkata, dakwaan pihak tertentu adanya perubahan Kerajaan Persekutuan selepas pilihan raya ini hanya provokasi untuk mengelirukan rakyat.

“Selepas Akta Lompat Parti diluluskan di Parlimen dan diwartakan dan selepas Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri sekarang ini, yakinlah tidak akan ada perubahan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mengenai pilihan raya di enam negeri, Ewon berkata, selain membantu calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional di Selangor, jentera partinya juga membantu calon-calon PH di Negeri Sembilan dan Kedah.

“Selepas ini kita akan ke Terengganu untuk membantu calon-calon PH dan BN untuk memenangi pilihan raya ini.

Jika diperlukan untuk berucap, saya akan berucap dari sudut Sabah, mengapa rakyat menyokong Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, sokongan padu terhadap kepimpinan kerajaan perpaduan amat penting bagi memastikan kestabilan politik kekal, kemakmuran rakyat dan pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan dengan baik.

Katanya lagi, UPKO juga tidak dapat menerima cara Perikatan Nasional (PN) berpolitik dengan menggunakan isu agama dan kaum.

“Dalam Kerajaan Perpaduan, ini semua diberi ruang, sebab rakyat Sabah dan Sarawak menjunjung apa yang termaktub dalam Perlembagaan iaitu agama Islam agama rasmi, Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan dan Yang di-Pertuan Agong adalah raja kita.

“Kita melihat Perdana Menteri sekarang dan pimpinan Kerajaan Perpaduan telah mengangkat ini sebagai satu teras kepada pembentukan kerajaan, sebab itu UPKO dan jentera parti berada di lapangan untuk membantu dalam kempen ini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 ogos ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan serentak di enam negeri melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Secara keseluruhannya, PRN enam negeri itu menyaksikan sebanyak 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan iaitu Selangor memiliki 56 kerusi DUN, Pulau Pinang (40), Kedah (36), Kelantan (45), Terengganu (32) dan Negeri Sembilan mempunyai 36 DUN.