KUCHING, SARAWAK – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak menyokong penuh keputusan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, bulan depan.
Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, sebaliknya BERSATU Sarawak akan menyokong penuh usaha dan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
“Kami akan merencana dan memastikan parti itu memperolehi kemenangan cemerlang pada PRN yang akan berlangsung pada 18 Disember depan…
“Saya bersama Tan Sri Muhyiddin menghormati pandangan dan permintaan GPS supaya diberi laluan PRN kali ini kerana kita yakin GPS mempunyai kekuatan tersendiri sebagai parti yang telah membantu membina Sarawak dan rakyatnya sehingga ke tahap amat membanggakan pada hari ini (27 Nov).
“Oleh itu, ahli-ahli BERSATU di Sarawak akan turun membantu kempen serta menggerakkan seluruh jentera untuk memastikan segala usaha dilakukan bagi memastikan GPS mencapai kemenangan besar dan cemerlang pada PRN Sarawak kali ini.
“Kita memberi kepercayaan kepada Tan Sri Datuk Patinggi Abang Zohari untuk membawa kemenangan dan sekaligus mempertahankan kerajaan negeri pimpinan GPS,” katanya dalam sebuah kenyataan kelmarin.
Katanya persefahaman itu juga termasuk dalam rangka stratergi menjelang PRU 15 yang akan datang dimana ia melibatkan Perikatan Nasional Sarawak secara khususnya.