62 PATI Ditahan Dalam Operasi Bersepadu Imigresen di KK, Kudat dan Sandakan

62 PATI Ditahan Dalam Operasi Bersepadu Imigresen di KK, Kudat dan Sandakan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebanyak 62 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi beberapa operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah yang dilaksanakan di tiga daerah termasuk Kota Kinabalu, Kudat dan Sandakan.

JIM Sabah menerusi satu kenyataan hari ini berkata, seramai 216 individu telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan dengan 62 warga asing ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas.

Di Kota Kinabalu, operasi membabitkan Ops Minyak dan Ops Selera memeriksa 13 individu, dengan sembilan warga asing ditahan. Mereka terdiri daripada enam warga Indonesia iaitu lima lelaki dan seorang wanita dewasa, selain tiga lagi warga asing melibatkan dua wanita warga Filipina dan seorang lelaki warga India.

Di Kudat pula, Ops Sapu dan Ops Kutip memeriksa 37 individu sebelum menahan 14 warga Filipina yang terdiri daripada lima lelaki dewasa, dua wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

Sementara itu, operasi di Sandakan yang dijalankan bersama agensi penguatkuasaan lain memeriksa 166 individu dan membawa kepada penahanan 39 warga asing.

Daripada jumlah itu, 32 adalah warga Filipina melibatkan dua lelaki dewasa, 29 wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan, manakala tujuh lagi merupakan warga Indonesia terdiri daripada lima lelaki dewasa dan dua wanita dewasa.

“JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara,” tegas JIM Sabah.

Semua warga asing yang ditahan dibawa ke depot imigresen bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63.