Macau Scam Berjaya Lesapkan Lebih RM233,000 Wang Simpanan Seorang Guru

Macau Scam Berjaya Lesapkan Lebih RM233,000 Wang Simpanan Seorang Guru

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

TUMPAT, KELANTAN – Sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pihal polis berjaya memperdayakan seorang guru sehingga menyebabkan wang simpanan berjumlah lebih RM233,000 dalam tiga akaun banknya lesap.

Menurut laporan Kosmo, dalam kejadian pada 4 Februari lalu itu, mangsa yang berusia 58 tahun itu menyedari wangnya hilang selepas berkongsi nombor kad pengenalan, nama, jenis bank, kata laluan akaun, nombor kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tarikh luput kad bank kepada sindiket berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, mangsa dipercayai menerima panggilan telefon daripada pegawai LHDN yang memaklumkan bahawa dia mempunyai tunggakan cukai selain ada individu menggunakan namanya untuk mendaftar syarikat.

Menurutnya, talian telefon itu kemudian disambungkan kepada seorang anggota polis kononnya berpangkat Inspektor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang yang memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram dan dadah malah waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya.

“Pada hari yang sama, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki kononnya dari Jabatan Jenayah Komersial IPK Pahang yang meminta wanita itu memuat turun dan mendaftar menerusi aplikasi Bank Negara…

“Tanpa berfikir panjang, mangsa berkongsi semua maklumat banknya di dalam aplikasi itu. Selain itu, suspek turut meminta mangsa supaya memindahkan wang dari sebuah akaun banknya ke akaun bank yang lain menerusi ATM dan secara dalam talian sebanyak RM70,000,” katanya.

Menurut Mohd. Azmir, selepas membuat transaksi itu, mangsa kemudian menerima satu lagi panggilan daripada pegawai LHDN pada Rabu lalu sebelum wanita tersebut mengesyaki dirinya telah ditipu.

Katanya, curiga dengan panggilan telefon itu, mangsa pergi ke mesin ATM sebuah bank kira-kira pukul 8 malam sebelum mendapati wang simpanannya sebanyak RM149,999 dan RM73,750 lagi yang disimpan dalam sebuah bank lain telah lesap.

Katanya, mangsa kemudian memaklumkan kepada kedua-dua bank itu supaya menyekat akaun terbabit selepas mendapati wang simpanannya dikebas sebanyak RM223,749.

Tambahnya, mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.