MOSCOW, RUSSIA – Hukuman penjara sehingga 15 tahun atas kesalahan menyebarkan maklumat ‘palsu’ mengenai tentera Russia bakal dilaksanakan selepas Parlimen Russia meluluskan undang-undang berkenaan semalam.
Undang-undang itu diluluskan ketika Moscow melawan apa yang disifatkan sebagai maklumat peperangan mengenai konflik di Ukraine.
Memetik laporan Reuters, Ahli Parlimen Russia meluluskan undang-undang itu bagi membolehkan penyebaran maklumat ‘palsu’ atau gesaan orang ramai untuk mengenakan sekatan terhadap Russia, menjadi kesalahan jenayah.
“Jika maklumat palsu itu membawa kepada kesan serius, pihak disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun,” kata Dewan Rakyat Russia yang dikenali sebagai Duma, dalam satu kenyataan.
Undang-undang itu dilihat memberi lebih kuasa kepada kerajaan Russia untuk bertindak terhadap kenyataan yang memburukkan angkatan tentera Russia.
Pihak berkuasa Russia berulang kali mendakwa maklumat palsu disebarkan oleh musuh Russia seperti Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya dalam usaha mencetus kegelisahan dan memecah-belahkan rakyatnya.