KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Sabah mengikut ketetapan ‘total lockdown’ Fasa Pertama sektor ekonomi dan sosial yang diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.
Jurucakap berkaitan COVID-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, MKN merupakan pembuat keputusan tertinggi dan arahan itu terpakai di Sabah.
“MKN adalah pembuat keputusan tertinggi kecuali ada dikhususkan (kepada negeri-negeri). Namun, kenyataan itu terguna pakai di seluruh negara,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita petang tadi.

Lewat petang hari ini (Jumaat), Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan satu kenyataan bahawa kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.
Keputusan ini juga dibuat susulan kes penularan COVID-19 dalam negara yang kini melebihi 8,000 kes yang mana setakat ini telah mengakibatkan seramai 2,552 orang telah meninggal dunia.






