Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dijangka akan mengumumkan hala tuju penting parti itu sempena Persidangan Agung Tahunan (PAT) Gagasan Rakyat yang akan berlangsung pada Ahad ini.
Ketika ditanya mengenai sebarang usul atau perubahan strategi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah hanya memberi kenyataan ringkas: “Tunggu ucapan saya pada hari Ahad,” katanya kepada media.
Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Penerangan Siri ke-3 Gagasan Rakyat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Seminar tertutup itu menghimpunkan ketua-ketua penerangan parti dari seluruh bahagian dan pelbagai peringkat dalam Gagasan Rakyat.
Turut hadir dalam seminar tersebut ialah Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun dan Ketua Penerangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Menurut Hajiji, seminar tersebut merupakan permulaan kepada persidangan penuh parti yang akan bermula esok dengan perhimpunan sayap-sayap parti.
Ia bertujuan memperkukuh jentera penerangan dan memastikan seluruh kepimpinan parti memahami serta menyampaikan pencapaian kerajaan negeri yang diterajui Gagasan Rakyat.
“Kita gerakkan jentera bagi memberi penjelasan kepada rakyat tentang perjuangan parti serta apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan hari ini,” tegas beliau.
Tambahnya lagi, penyampaian maklumat tepat dan menyeluruh kepada rakyat amat penting dalam menghadapi PRN17 yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat tahun ini dilihat sebagai platform penting untuk parti menyatakan pendirian serta strategi besar menghadapi landskap politik Sabah yang semakin dinamik.






