KOTA KINABALU: Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap portal MalaysiaNow susulan penerbitan artikel dan video yang didakwa berunsur fitnah melibatkan dakwaan pemberian lesen penerokaan kepada syarikat Bumi Suria Sdn Bhd.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, SMM menegaskan bahawa laporan MalaysiaNow adalah tidak benar, mengelirukan serta telah disiarkan tanpa sebarang usaha mendapatkan penjelasan daripada pihak mereka.
“Laporan itu bersifat berat sebelah, tidak berasas, dan dilihat sebagai cubaan terancang untuk mencemarkan nama baik SMM serta pegawai-pegawainya,” tegas kenyataan tersebut.
Menurut SMM, pihaknya tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mengeluarkan lesen penerokaan. Kuasa tersebut terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU), seperti yang diperuntukkan dalam Ordinan Perlombongan Sabah 1960.
Malah, JTU menerusi kenyataan rasmi bertarikh 24 Julai 2025 mengesahkan bahawa tiada lesen penerokaan atau lesen berkaitan mineral pernah diberikan kepada Bumi Suria Sdn Bhd.
SMM menjelaskan bahawa peranannya hanya terhad kepada pengurusan permohonan awal lesen dengan menjalankan penilaian teknikal dan kewangan serta pemantauan pematuhan peraturan industri perlombongan.
Permohonan yang memenuhi syarat akan menerima Surat Kebenaran Bersyarat untuk Memohon Lesen Penerokaan – namun ia bukanlah lesen sebenar. Semua permohonan perlu melalui penilaian lanjut oleh agensi kerajaan berkaitan sebelum lesen dikeluarkan.
SMM turut mendedahkan bahawa Bumi Suria Sdn Bhd pernah diberikan kelulusan bersyarat untuk memohon lesen, namun syarikat itu gagal mengemukakan dokumen lengkap seperti dikehendaki. Akibatnya, SMM telah membatalkan kelulusan tersebut secara rasmi pada 24 Mac 2025.
Fakta pembatalan ini didakwa telah sengaja tidak dimasukkan dalam laporan MalaysiaNow.
Dalam masa sama, SMM turut mengecam tindakan MalaysiaNow yang didakwa menyalahgunakan gambar Ketua Pegawai Eksekutifnya, Natasha Sim, dengan meletakkan imej dan nama beliau pada rakaman suara yang tidak berkaitan. SMM menyifatkan tindakan ini sebagai satu penipuan dan pelanggaran etika kewartawanan.
SMM memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menyebarkan semula dakwaan yang dibuat oleh MalaysiaNow. Peguam telah diarahkan untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap MalaysiaNow serta mana-mana platform lain yang terlibat dalam penyebaran semula kandungan tersebut.






