Arab Saudi Umum Pengeluaran 4 Juta Visa Umrah Untuk Tahun 1444 Hijrah

Arab Saudi Umum Pengeluaran 4 Juta Visa Umrah Untuk Tahun 1444 Hijrah

0
SHARE

MAKKAH – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan pengeluaran lebih empat juta visa umrah kepada jemaah dari seluruh dunia dalam tempoh lima bulan, sejak awal musim umrah bagi tahun 1444 Hijrah.

Memetik sumber Bernama, kementerian terbabit dengan kerjasama beberapa sektor lain melaksanakan pengeluaran visa berkenaan untuk memudahkan ketibaan jemaah, menerusi imbasan biometrik e-Visa melalui laman sesawang Kementerian Haji dan Umrah serta platform ‘NUSUK’, bersama penyediaan perkhidmatan berkualiti tinggi bagi membolehkan ibadah dilaksanakan secara mudah dan tenang.

Di samping itu, ia dijangka dapat menambah lagi pengalaman jemaah dari segi budaya dan agama bagi merealisasikan matlamat program Wawasan Saudi 2030, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Untuk maklumat lanjut berhubung kaedah mendapatkan visa umrah, jemaah umrah dan pelawat dari luar negara boleh melayari pautan: www.haj.gov.sa/ar/InternalPages/Umrah.

Manakala membeli pakej perkhidmatan serta membuat pembayaran dalam talian pula dapat dilakukan menerusi pautan: nusuk.sa serta platform ‘Maqam’: maqam.gds.haj.gov.sa.

Umat Islam yang mendapat semua jenis visa (peribadi, lawatan dan pelancongan) termasuk jenis lain yang membenarkan kemasukan ke Arab Saudi, boleh melakukan ibadah umrah, melawat serta menunaikan solat di Raudhah, selepas membuat tempahan slot mereka melalui aplikasi ‘NUSUK’.

Arab Saudi turut melanjutkan tempoh visa umrah daripada 30 kepada 90 hari bagi kemasukan ke negara itu melalui jalan darat dan udara.

Aplikasi ‘NUSUK’ turut memudahkan tempahan slot untuk jemaah mengerjakan umrah dan melawat Masjid Nabawi selepas memperoleh visa menerusi sistem elektronik.