Aplikasi MyJPJ Tawar Transaksi Secara Dalam Talian

Aplikasi MyJPJ Tawar Transaksi Secara Dalam Talian

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar (tengah) merakam gambar kenangan bersama rombongan dari JPJ ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Aplikasi MyJPJ menawarkan perkhidmatan transaksi secara dalam talian tanpa hadir ke premis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah JPJ Negeri Sabah, Mohd Harris Ali berkata, aplikasi itu memudahkan orang ramai berurusan dengan JPJ melalui atas talian tanpa hadir ke pejabat JPJ.

“MyJPJ adalah aplikasi mudah alih inovatif yang dibangunkan oleh JPJ Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan semakan dan paparan dokumen penting bagi pemandu di Malaysia seperti lesen memandu, cukai roadtax, saman dan sebagainya.

“Melalui aplikasi ini, orang ramai tidak perlu lagi bersusah payah hadir ke pejabat JPJ untuk berurusan seperti memperbaharui lesen memandu, roadtax, saman dan lain-lain kerana transaksi yang ada pada aplikasi tersebut boleh di akses hanya dihujung jari,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.

Beliau turut memaklumkan kepentingan program MyLesen yang memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan meningkatkan ekonomi.

“Kita juga mengutarakan kepada Tun mengenai program MyLesen yang kita sedang laksanakan dan berharap program ini mendapat sokongan oleh semua pihak memandangkan manfaat dia untuk meningkatkan sosio ekonomi golongan B40.

“Pada masa ini juga JPJ negeri sabah sedang berbincang dengan Yayasan Nur Jauhar (YNJ) untuk kita melaksanakan program MyLesen iaitu untuk memberikan lesen percuma kepada anak-anak yatim khususnya di kawasan tertentu melalui perbincangan dengan pihak YNJ akan datang,” ujarnya. — JABATAN PENERANGAN SABAH