KMJG Penting Bangkit Semangat Patriotik – Ewon

KMJG Penting Bangkit Semangat Patriotik – Ewon

0
SHARE
Ewon
Ewon (kanan) ketika pelepasan kenderaan konvoi KMJG 2024 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PENAMPANG, SABAH – Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 penting untuk membangkitkan semangat patriotik dan mencintai negara.

Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata program KMJG dapat mengingatkan rakyat bahawa perjuangan mempertahankan negara itu harus ada kerana sentiasa ada anasir yang mahu memecahkan kedaulatan.

“Sepertimana saya katakan tadi, semasa penubuhan Malaysia dahulu ada pihak di negara lain yang tidak bersetuju dengan penubuhan negara Malaysia ini.

“Hingga hari ini, masih ada tuntutan-tuntutan yang telah berlaku sehingga dibawa ke mahkamah-mahkamah tertentu di negara lain.

“Sebab itulah kerajaan Malaysia pimpinan yang ada hari ini telah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk melawan semua usaha ini.

“Ini menunjukkan komitmen besar kerajaan persekutuan terhadap kedaulatan Sabah dan dalam masa yang sama rakyat dan kerajaan Sabah juga komited untuk terus mempertahankan kedaulatan ini,” katanya ketika ditemui media semasa KMJG dan pelepasan KMJG peringkat daerah, pada Khamis.

Tambah Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang, disebabkan hal tersebut,adalah penting bukan hanya rakyat Sabah tetapi juga rakyat di seluruh negara mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan.

“Mudah-mudahan bukan hanya untuk tempoh 61 tahun akan datang, tetapi untuk selama-lamanya Sabah harus menjadi satu wilayah berdaulat di negara kita,” ujarnya.

Majlis yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Penampang itu dihadiri 600 penjawat awam, pemimpin-pemimpin setempat dan Komuniti Madani sekitar daerah tersebut.

Turut hadir, Pengerusi Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Datuk Donald Peter Mojuntin, Ketua Polis Daerah Penampang, Superitendan Sammy Newton, Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Francis Chong dan Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor. — JABATAN PENERANGAN SABAH