KUALA LUMPUR – Belum sampai seminggu menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Adam Adli Abd Halim telah membuat kenyataan kontroversi sehingga menyebabkan beberapa persatuan sukan tersinggung dengan kenyataan beliau.
Sehubungan dengan itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria tampil memberi kenyataan agar Adam Adli tidak membuat justifikasi berhubung dakwaannya badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.
Menurutnya, kenyataan terbabit disifatkan tidak wajar, tidak adil dan prejudis berikutan pelbagai badan sukan negara berjaya melahirkan juara dunia dalam sukan masing-masing.
“Sebagai badan penaung 57 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), MOM amat kecewa dengan kenyataan Adam Adli yang tidak mempunyai justifikasi dan tidak disokong oleh sebarang bukti…
“Sepatutnya Adam Adli hendaklah mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum mengeluarkan kenyataan menyeluruh yang mencerminkan pemahaman yang lemah mengenai struktur sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Dalam pada itu, Norza turut berkata, beberapa NSA telah diiktiraf sebagai persatuan model dan mematuhi prinsip amalan terbaik tadbir urus yang baik.
Disamping itu, NSA terbabit juga telah membantu meningkatkan profil sukan negara dengan melahirkan jaguh dunia yang digeruni dalam acara badminton, lumba basikal, terjun, boling tenpin dan silat.
“Meskipun NSA terbabit tidak sempurna dan beroperasi dalam kekangan, anda tidak boleh menyamakan kami dengan mereka yang kurang bertanggungjawab…
“Tidak dinafikan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki namun tindakan mendakwa badan sukan mengamalkan rasuah adalah prejudis serta tidak matang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan sama menyebut adalah lebih baik jika Adam Adli mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum membuat kesimpulan.





