MINDEF Memperuntukan RM234.5 Juta Membangunkan Sektor Pertahanan Di Sabah

MINDEF Memperuntukan RM234.5 Juta Membangunkan Sektor Pertahanan Di Sabah

0
SHARE
Khaled
Mohamed Khaled (tengah) ketika sidang media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperuntukkan RM234.5 juta bagi meneruskan projek pembangunan dalam sektor pertahanan di Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan tersebut merangkumi projek-projek yang sedang berjalan dan juga yang baru akan dimulakan dijangka pada tahun hadapan dengan tujuan memperkasa aspek pertahanan negara.

“Terdapat banyak projek yang kita akan siapkan antaranya pembangunan Kem Tentera Darat di FELDA Sahabat Lahad Datu, pembinaan Kem 5 Briged dan Kem 19 Rejimen Askar Melayu Diraja Kota Belud.

“Selain itu, kita turut memperuntukkan RM37.6 juta bagi membangunkan Pos Serudong dan Pos Bantul, pembangunan kemudahan kesihatan angkatan tentera di Kem Lok Kawi dan pembinaan bangunan kompleks Pusat Operasi Perisikan Medan (POPM) Zon Sabah yang akan bermula pada tahun hadapan.

“Saya percaya di peringkat kementerian kita telah menerima arahan daripada kerajaan pusat supaya semua projek dimulakan daripada sekarang agar apabila masuk tahun hadapan kita tidak berhadapan dengan soal projek-projek lambat ataupun lewat.

“Kerajaan juga komitmen berkenaan aspek keselamatan di Sabah dan akan diteruskan malah akan diperkasakan lagi bagi tujuan operasi, pengawalan dan pengawasan sama ada dari ancaman-ancaman tradisional ataupun penyeludupan juga kemasukan pendatang-pendatang asing, semua itu akan diteruskan oleh Angkatan Tentera kita,” Ujarnya kepada media selepas merasmikan Program Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) Tahun 2024 di Balai Cerap Al-Biruni, Putatan pada Ahad.

Mohamed Khaled turut menyatakan Karnival CIMIC dapat mengeratkan hubungan dan kerjasama diantara tentera dan orang awam dalam memupuk semangat patriotisme mempertahankan kedaulatan Negara.

“Hari ini kita menjayakan Karnival CIMIC iaitu program yang memang menjadi tumpuan kementerian sebab kepentingannya kepada masyarakat dan tentera yang mempunyai persefahaman dalam soal membawa konsep total defense bagi negara kita.

Program ini merupakan anjuran bersama MINDEF bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut melibatkan beberapa agensi-agensi keselamatan dan awam termasuk kerajaan Negeri Sabah, “jelas beliau.

Dalam majlis tersebut, turut berlangsung pameran kenderaan perisai seperti AV8 Gempita dan HMAV Lipan Bara, dan Helikopter EC 725, persenjataan seperti Meriam 105 mm Pack Howitzer, aset-aset pasukan elit dan pasukan khas Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi,Ketua Staf Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Zaidan Atan dan Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy. — JABATAN PENERANGAN SABAH